Friday 11 March 2011

Latihan Pemahaman

LATIHAN PEMAHAMAN 1 (CATATAN)

Baca petikan di bawah, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

Jumaat, 23 Oktober 2010
Petang yang agak sibuk. Sebaik sahaja tiba di lokasi perkhemahan yang terletak di tepi sungai berhampiran hutan, kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Kami diarahkan untuk mendirikan khemah di tapak yang sesuai. Cikgu Sulaiman melarang kami mendirikan khemah di kawasan yang terlalu hampir dengan sungai. Aku terpesona melihat keindahan alam semula jadi di kawasan hutan ini. Kawasan ini masih kaya dengan flora dan fauna. Air sungai yang mengalir tidak jauh dari tempat kami berkhemah kelihatan jernih dan bersih. Sebaik sahaja kerja-kerja memasang khemah selesai, aku, Chong Beng, Nathan dan Kamil telah ditugaskan untuk mencari kayu api di kawasan hutan berhampiran.

Sabtu, 24 Oktober 2010
Aktiviti yang kami ikuti pada malam tadi ialah kemahiran menggunakan kompas dan membaca bearing dan grid. Sebagai ahli pengakap, kemahiran ini sangat penting supaya tidak tersesat di dalam hutan. Kemahiran ini akan kami aplikasikan dalam aktiviti “kembara hutan” yang akan dilaksanakan pada pagi ini.
Aktiviti “kembara hutan” sememangnya aktiviti yang aku tunggu-tunggu. Selepas bersenam dan bersarapan, Cikgu Sulaiman menyampaikan taklimat penting sebelum kami menjalani aktiviti ini. Setiap kumpulan diberikan tugasan dan akan dibimbing oleh guru-guru penasihat pengakap yang menyertai perkhemahan ini. Kami dilarang merosakkan tumbuh-tumbuhan, memetik buah-buahan hutan, menangkap haiwan atau apa-apa sahaja aktiviti yang boleh memudaratkan flora dan fauna di kawasan ini. Sepanjang pengembaraan ini, aku dapat mencatat nama pokok seperti cengal, keruing, kelat, mengkulang dan pulai. Selain itu, aku berpeluang melihat spesis haiwan yang dilindungi seperti tenggiling, burung kakak tua, tupai merah dan landak raya.

Ahad, 25 Oktober 2010

Kami mengemaskan barang-barang untuk pulang walaupun berasa berat hati untuk meninggalkan tempat ini. Sebelum pulang, kami membersihkan tapak perkhemahan. Tugasan terakhir yang diberikan oleh Cikgu Sulaiman ialah menyiapkan laporan perkhemahan ini sebaik sahaja kami kembali ke sekolah. Perkhemahan ini memberikan kenangan manis bagiku apabila kumpulanku telah dinobatkan sebagai johan persembahan malam kebudayaan yang diadakan pada malam tadi.









1 Di manakah perkhemahan itu diadakan? (Rujuki perenggan 1 petikan)
A Di sungai
B Di tepi hutan
C Di tepi sungai berhampiran dengan hutan
D Di dalam hutan berhampiran dengan sungai

2 Kemahiran penggunaan kompas sangat penting bagi seseorang ahli pengakap untuk (Rujuki perenggan 2 petikan)
A mencari maklumat di dalam hutan.
B mengelakkan mereka tersesat di dalam hutan.
C menjejaki flora dan fauna yang semakin diancam kepupusan.
D melaksanakan semua aktiviti yang dijalankan semasa perkhemahan.

3 Berikut ialah aktiviti yang dijalankan semasa perkhemahan itu kecuali (Rujuki perenggan 2, perenggan 3 dan perenggan 4)
A persembahan malam kebudayaan.
B kemahiran membaca bearing dan grid.
C melihat haiwan-haiwan yang semakin diancam kepupusan.
D menulis laporan tentang perkhemahan yang telah mereka sertai.

4 Frasa masih kaya dengan flora dan fauna dalam petikan bermaksud (Rujuki perenggan 1)
A haiwan liar dan tumbuh-tumbuhan hutan masih banyak di kawasan ini.
B hanya hidupan liar tertentu masih membiak dan mendiami kawasan ini.
C Hanya orang kaya yang dapat melihat haiwan liar dan tumbuh-tumbuhan di sini.
D kawasan ini menjadi tempat pembiakan haiwan liar dan tempat pemuliharaan hutan.

5 Pilih pernyataan yang benar tentang petikan. (Rujuki perenggan 3)
A Perkhemahan itu diadakan selama dua hari satu malam.
B Aktiviti “kembara hutan” telah dijalankan pada waktu malam.
C Mereka menangkap gambar tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan liar di situ.
D Ahli-ahli pengakap berpeluang untuk melihat binatang yang semakin diancam kepupusan.

No comments:

Post a Comment